Elak guna ayat al-Quran di pentas ceramah politik

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Na’im Mokhtar, meminta semua pihak khususnya ahli politik, agar tidak menggunakan ayat suci al-Quran serta hadis sebagai modal di pentas ceramah terutama ketika kempen pilihan raya.

Beliau menegaskan perbuatan seumpama itu demi mencapai matlamat perjuangan politik, harus dielakkan, lebih-lebih lagi sekiranya yang memerlukan rujukan pihak berkuasa seperti Jabatan Mufti atau badan agama di negeri-negeri.

“Pada sayalah, kalau ia membabitkan pandangan hukum, sebaik-baiknya elak (berlaku) sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Jika membabitkan satu pandangan hukum, boleh merujuk Jabatan Mufti dan (badan agama) negeri-negeri sebab ini pihak yang berautoriti. Cuma, jangan menyalahgunakan untuk kepentingan politik, ini yang paling utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dan merasmikan ibu pejabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di sini, hari ini.

Pada majlis itu juga, sebanyak RM470,000 diagih kepada pelajar, keluarga B40, usahawan dan penerima rumah.

Semalam, media melaporkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Terdahulu, dalam hantaran melalui Facebooknya, Dr Mohd Na’im menggesa supaya tiada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung keutamaan mengundi semasa musim pilihan raya berbanding mengerjakan ibadah haji.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan hukum secara individu tanpa merujuk kepada pihak berautoriti seperti para Mufti. Hukum agama adalah perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi.

Adalah amat penting untuk kita menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan yang boleh mengganggu keharmonian, apatah lagi apabila ia melibatkan ibadah yang merupakan rukun Islam serta proses demokrasi yang penting bagi negara,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak Mufti serta institusi berwibawa untuk memberikan pandangan dan penjelasan berdasarkan hukum syarak dan konteks semasa.

“Marilah kita mengutamakan ilmu dan adab dalam membincangkan isu-isu agama, serta sentiasa merujuk kepada saluran yang betul demi menjaga kesucian Islam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment