Kedah tuntut RM200 juta kekal jelapang padi

ALOR SETAR 21 April – Kedah berusaha menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi bagi menjamin bekalan beras negara, kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, kerajaan negeri menolak cadangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) iaitu bayaran sebanyak RM41 juta setahun kepada Kedah melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).

Katanya, jumlah itu terlalu rendah berbanding kehilangan hasil yang dikorbankan Kedah untuk mengekalkan kawasan tanaman padi dan hutan untuk sumber bekalan air.

“Permohonan RM200 juta oleh kerajaan negeri masih dalam pertimbangan Pusat. Beberapa libat urus diadakan termasuk Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) terakhir yang mana PlanMalaysia membentangkan sistem KAGUMN,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau menjawab soalan Hanif Ghazali (PN-Tanjung Dawai) yang bertanyakan mengenai perkembangan permohonan RM200 juta kepada Kerajaan Persekutuan bagi pengekalan kawasan sawah padi.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri mencadangkan sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu menggunakan kaedah pengiraan KAGUMN, insentif khas sekurang-kurangnya RM157 juta setahun perlu dibayar kepada Kedah.

“Saya harap Pusat terus mempertimbang permohonan ini kerana kalau kita keluar daripada tanggungjawab sebagai negeri jelapang padi, sudah tentu negara akan mengalami kesukaran.

“Ada orang cakap kita suka minta duit percuma, dia tak tahu kos yang kita tanggung, Kedah bukannya buat permohonan tanpa asas. Ini bukan luar biasa, kita tuntut atas pengorbanan kita tanggung selama ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Hanif mengenai pendirian kerajaan negeri jika tuntutan RM200 juta tidak dipenuhi, Muhammad Sanusi percaya kaedah rundingan dengan mengemukakan alasan munasabah masih menjadi asas kepada permohonan itu.

“Saya rasa tak ada orang waras menolak alasan yang masuk akal. Saya rasa Kerajaan Persekutuan faham, cuma mungkin kekangan dari sudut fiskal negara yang nak dielakkan kerana mungkin kalau mula bagi (insentif) tak boleh berhenti.

“Tetapi saya rasa daripada RM430 bilion bajet tahunan negara, tiada masalah untuk beri RM200 juta demi kekalkan kawasan pertanian paling penting untuk makanan negara yang perlu diberi keutamaan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, tuntutan Kedah juga berasas kerana mengekalkan kawasan hutan untuk tadahan dan bekalan air.

“Kehilangan hasil cukai tanah yang dikekalkan untuk kawasan padi begitu besar. Sekitar 5,000 hektar tanah termasuk dalam rancangan tempatan daerah yang boleh dibangunkan projek lain sama ada perumahan, industri, komersial yang boleh mengubah nilai cukai tanah itu.

“Daripada keseluruhan kawasan termasuk dalam rancangan itu, jika kita ubah syarat tanah, kita boleh kutip cukai sewa tanah, cukai ubah jenis kegunaan tanah, cukai taksiran, caj pemajuan dan caj sumber air mentah yang dianggarkan RM116 juta,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment