8.7 juta terima bayaran STR mulai 17 Januari

PUTRAJAYA: Sebanyak 8.7 juta golongan B40 akan menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1, yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima mulai esok 17 Januari ini.

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, dalam kenyataan berkata , pembayaran secara berperingkat itu melibatkan RM1.67 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penerima STR di kawasan pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran itu pada tarikh sama.

“Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 Januari,” katanya.

Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 17 Januari dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk melalui ruangan Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

STR Fasa 1 membabitkan kategori penerima isi rumah berjumlah empat juta dengan kadar RM300, 1.2 juta warga emas tanpa pasangan (RM100), manakala 3.5 juta golongan bujang (RM100).

Anwar berkata program bantuan tunai untuk B40 di bawah Kementerian Kewangan itu dijenamakan semula kepada STR dan akan terus ditambah baik.

Beliau juga memutuskan supaya STR Fasa 1 untuk B40 diawalkan kepada Januari berbanding perancangan awal pada Mac depan bagi meringankan beban sara hidup rakyat.

“Kerajaan Perpaduan menekankan pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah, terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas.

“Selaras dengan itu, kerajaan telah memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya.

Related posts

Leave a Comment