Serangan Israel bunuh lebih 90 orang

GAZA – Lebih 90 orang terbunuh dalam serangan udara berterusan oleh tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza dalam tempoh 48 jam lalu, yang turut melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Difahamkan, sebahagian daripada mangsa berlindung di kawasan yang ditandakan Israel sebagai zon kemanusiaan.

Menurut pegawai di Hospital Eropah, 11 orang terbunuh di bandar selatan Khan Younis termasuk di dalam khemah yang terletak di kawasan Mwasi, di mana ratusan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan.

Empat lagi terbunuh dalam serangan berasingan di Rafah, termasuk seorang ibu dan anak perempuannya.

Israel sebelum ini berikrar untuk meningkatkan operasi ketenteraan di seluruh Gaza, dengan rancangan untuk mewujudkan zon keselamatan yang besar di dalam wilayah berkenaan.

Sementara itu, keadaan di Gaza semakin meruncing ketika memasuki minggu keenam di bawah sekatan ketat, menyebabkan makanan, ubat-ubatan dan bekalan penting lain tidak dapat disalurkan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan orang di Gaza hanya mampu makan sekali sehari, manakala ribuan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.

Jumaat lalu, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Mediterranean Timur, Dr Hanan Balkhy, menggesa Duta Amerika Syarikat (AS) yang baru dilantik ke Israel, Mike Huckabee untuk menekan Israel supaya menarik balik sekatan bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada orang awam.

“Saya ingin dia masuk dan melihat keadaan secara langsung,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment