TBC : Sekatan untuk keselamatan

SINGAPURA 11 Feb. – Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengingatkan penduduk Singapura bahawa langkah berjaga-jaga sempena sambutan Tahun Baharu Cina amat penting untuk menjaga keselamatan orang-orang tersayang.

Katanya, langkah-langkah pengurusan selamat Covid-19 yang lebih ketat masih perlu memandangkan Covid-19 masih “menular dengan pantas” di seluruh dunia.

Beliau mahu penduduk mengambil iktibar penularan baharu wabak itu pada bulan Januari lalu di mana jangkitan yang disebabkan oleh perayaan hujung tahun ketika orang ramai berhimpun dan tidak berhati-hati.

Dalam perutusan Tahun Baharu Cina, Lee berkata, sekatan mengehadkan kunjungan dari rumah ke rumah sudah diperketatkan kepada tidak lebih daripada lapan tetamu sehari dan mereka boleh mengunjungi sekurang-kurangnya dua rumah lain dalam sehari dan hanya rumah sanak saudara.

“Saya tahu sekatan-sekatan ini akan memalapkan suasana perayaan. Keluarga-keluarga besar khususnya akan terjejas. Tetapi langkah berjaga-jaga ini penting untuk menjaga keselamatan orang-orang tersayang.

“Saya pasti anda akan mencari cara lain untuk mengadakan perjumpaan dan berhubungan dengan anggota keluarga serta rakan-rakan, mungkin menerusi panggilan video atau persidangan video,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat boleh menjangkakan sambutan-sambutan “lebih meriah dan muhibah” apabila pandemik ini berakhir.

Menurut Lee lagi, menunjukkan penghargaan kepada anggota keluarga ketika penularan pandemik ini mungkin lebih penting dari sebelumnya.

“Kemesraan, ketenangan dan sokongan anggota keluarga kita sudah memberikan kita kekuatan untuk mengharungi masa-masa paling mencabar semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata Tahun Baharu Cina adalah masa untuk mengadakan perjumpaan dan meraikannya.

“Malam ini di merata Singapura, keluarga-keluarga akan menikmati jamuan malam bersama orang-orang yang disayangi.

“Dalam masa beberapa hari mendatang, kita akan menziarahi ibu bapa dan saudara-mara dalam kumpulan-kumpulan kecil untuk saling mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru bagi kesihatan yang baik dan kemakmuran serta menyambut kelahiran anggota baru dalam keluarga,” kata Lee

Related posts

Leave a Comment