TAPAH 20 April – – “Kalau pun ada kesan, ia hanyalah satu undi di Kampung Gajah dan satu di Parlimen Pasir Salak. Tak ada apa-apa sangat,” kata Pengerusi UMNO Perak, Saarani Mohamad yang turut menyifatkan tiada apa yang mengejutkan
Menteri Besar Perak itu mengulas penyertaan bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang menyertai Pas semalam. dengan borang keahlian diserahkan kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.
Borang tersebut diserahkan sempena Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini.
Menurut Saarani, tindak-tanduk mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah itu sudah dijangka dari awal oleh kepimpinan parti dan semalam cuma tarikh yang memang ditunggu.
“Dia ada WhatsApp sekali-sekala, tetapi tak pernah timbul isu itu (lompat parti). Cuma saya jangka, saya pun ada sixth sense (deria keenam). Saya bukan kasyaf, tetapi saya boleh baca reaksi manusia.
“Semalam itu cuma tarikh yang memang kita tunggu. Jadi tak ada apa-apa yang mengejutkan,” katanya kepada pemberita.
Menurut Saarani penyertaan Wan Norashikin ke dalam parti lawan itu adalah keputusan peribadi yang tidak memberi kesan besar kepada kekuatan UMNO Perak.
Wan Norashikin yang hadir berjubah hitam dan berniqab ditemani suaminya iaitu Setiausaha Pas Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal menang di kerusi DUN Kampong Gajah selama dua penggal iaitu pada 2018-2022 dan 2008-2013.
Pada 2018 lalu, Wan Norashikin menewaskan calon Pas dengan majoriti 1,416 undi dan diberi peluang bertanding semula pada PRU15 di kerusi sama, namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Zafarulazhan Zan mewakili Pas.
Beliau diberi kepercayaan menerajui Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri sejak 2020 hingga 2022.
Mantan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak itu diuji dengan pemergian suaminya, Allahyarham Edi Razman Mohd Ismail yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mei 2021.
Nnnn