JOHOR BAHRU 20 April – Seorang lagi Ahli Parlimen bertaraf timbalan menteri tewas dalam pemilihan pimpinan peringkat cabang PKR 2025.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu hanya mendapat 587 undi, manakala lawannya, Mohamad Taufiq Ismail yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor memperoleh 709 undi.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim gagal merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya apabila hanya memperoleh 791 undi berbanding pencabarnya, Zamzizul Nordin yang meraih 1,905 undi.
Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy pula tewas di Bukit Bintang.
Beberapa Ahli Parlimen juga tewas iaitu, Zahir Hassan (Wangsa Maju); P Prabakaran (Batu); Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); dan Exco Pulau Pinang, Fahmi Zainol (Jelutong).
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Naib Presiden PKR, kalah dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.
Nnn