Nyatakan perkara sebenar isu Menara KL

SEPANG 20 April – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin ⁠menggesa kerajaan supaya telus, menyatakan perkara sebenar berhubung isu peralihan konsesi Menara KL, dan tidak dilihat hanya mempertahankan satu pihak semata-mata.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, rakyat mahukan dan berhak mendapat layanan sama rata dan saksama dari kerajaan.

“Hukum rimba tidak boleh dijadikan amalan dan norma pentadbiran negara. Insiden pengusiran paksa ini menggoncang asas Malaysia sebagai sebuah negara hukum,” katanya dalam satu kenyataan berhubung peralihan konsesi Menara KL.

Beliau berkata, adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk tidak mempertimbangkan sebuah syarikat Bumiputera yang telah mengurus Menara KL selama bertahun-tahun dengan rekod yang baik.

Pada masa yang sama katanya, syarikat tersebut telah dilayan secara tidak adil kerana terpaksa menanggung liabiliti berjumlah lebih RM300 juta dan banyak cerita yang berbangkit mengenainya.

“Hakikat bahawa ia mencapai tahap kritikal sehinggakan Kementerian Komunikasi terpaksa menggunakan polis dan agensi lain untuk membuat pengusiran secara paksa memberikan persepsi yang buruk terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai kehadirannya di Menara KL pada Ahad lali bagi menyaksikan pembukaan Kapsul Masa oleh bekas Perdana Menteri  Dr Mahathir Mohamad.

“Pada Majlis itu, Tun Dr Mahathir menyebut tentang dasar negara untuk membantu ahli perniagaan Bumiputera  yang berkebolehan sehingga berjaya dan bukan mengambil alih konsesi atau menghentikan kontrak mereka,” katanya.

Muhyiddin berkata, sejak beberapa hari ini beliau membaca tentang kemelut Menara KL yang berkesudahan dengan rampasan paksa tapak Menara KL pada 16 April 2025.

“Hal ini amat memeranjatkan kerana saya difahamkan pertikaian berkenaan konsesi ini telahpun dikemukakan untuk pengadilan di mahkamah,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment