KOTA BHARU 9 April – Dua kemalangan dilaporkan di daerah Kuala Krai membabitkan haiwan ternakan berkeliaran, hari ini, dengan satu daripada insiden itu menyebabkan seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira pukul 1 pagi selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor lembu di jalan utama berhadapan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP).
Susulan itu, Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas, termasuk merampas ternakan dan mengenakan kompaun maksimum RM2,000 terhadap pemilik haiwan yang berkeliaran di jalan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, seminggu sebelum Aidilfitri, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menjalankan operasi menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan utama, bagi mengelak berlaku kemalangan.
Katanya, dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan, hari ini, beliau juga membuat permohonan kepada kerajaan negeri supaya mengambil berat mengenai isu haiwan ternakan merayau yang hingga kini masih belum dapat diatasi.
“Pada masa sama, Menteri Besar Kelantan, bersetuju memberi peruntukan khas kepada semua PBT bagi memperhebatkan lagi operasi menangkap haiwan yang berkeliaran di kawasan awam sepanjang jalan utama, kawasan perumahan serta taman permainan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu, di sini, hari ini.
Menurut Hilmi, haiwan ternakan yang ditangkap itu akan disita serta ditempatkan dalam kandang dan pada masa sama, notis dikeluarkan kepada pemilik supaya menuntutnya dalam tempoh antara tiga hingga tujuh hari.
Sekiranya pemilik gagal menuntut ternakan mereka itu dalam tempoh tertentu selepas notis dikeluarkan, kami akan melupuskan atau melelong haiwan berkenaan,” katanya.
Di samping itu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan semua Pejabat Veterinar bagi memperkasakan operasi menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di sepanjang jalan protokol dari Gua Musang hinggalah ke Kota Bharu.
“Justeru, Enakmen Pendaftaran Ternakan Ruminan 2024 juga akan mula dikuatkuasakan selepas pewartaan bagi menggantikan Enakmen Lembu Kerbau Kelantan 1968, yang mewajibkan pemilik mendaftarkan haiwan ternakan mereka.
“Kita mahu memastikan semua haiwan ternakan ada pemilik. Enakmen Pendaftaran Ternakan Ruminan 2024 akan mula diperkasa untuk menggantikan Enakmen Lembu Kerbau Kelantan 1968 bagi memastikan tiada lagi masalah haiwan berkeliaran yang boleh menyebabkan kemalangan pada pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau menjangkakan tahun ini dengan kerjasama Pejabat Veterinar serta Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, semua ternakan ruminan di Kelantan akan didaftar bagi memastikan semua haiwan berkenaan mempunyai pemiliknya.
Nnnn