Operasi Khas HRA keluar 61,317 notis

SHAH ALAM 9 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 61,317 notis pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di seluruh negara yang bermula 24 Mac dan berakhir tengah malam tadi.

Ketua Pengarah JPJ,  Aedy Fadly Ramli, berkata notis dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), hasil pemeriksaan ke atas 287,802 kenderaan di 353 kawasan ‘hotspot’ seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 511 kenderaan disita.

“Sepanjang tempoh operasi itu juga, JPJ menerima 6,687 aduan melalui Aplikasi MyJPJ berkaitan kesalahan lalu lintas pada musim perayaan ini, yang mana orang awam mengambil gambar atau merakam video kesalahan di jalan raya sebelum menghantarnya menerusi aplikasi berkenaan.

Data menunjukkan tiga kesalahan utama yang tertinggi ialah memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).

“Kita sudah mengambil tindakan berikutan semua aduan itu, termasuk mengeluarkan Notis 114 terhadap pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya terakhir Operasi Khas HRA 2025 diadakan JPJ Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini, malam tadi.

Dalam operasi kali ini, Aedy Fadly berkata, JPJ turut memfokus kepada pemeriksaan kenderaan perkhidmatan awam membabitkan sejumlah 12,732 bas di 54 depoh serta 28 terminal utama seluruh negara.

“Pihak JPJ telah mengeluarkan 1,294 notis di mana 366 daripadanya melalui penguatkuasaan secara penyamaran dalam bas yang bergerak sepanjang musim perayaan ini.

“Kebanyakan kesalahan dilakukan pemandu bas adalah berkait tayar, dan tindakan segera sudah diambil termasuk mengenakan kompaun.

“Melalui penyamaran anggota JPJ dalam bas, dikesan banyak kesalahan pemandu menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Itu adalah kesalahan utama yang tiada kompromi, dan juga terus dikompaun.

“Sepanjang perjalanan, anggota JPJ yang menyamar mengetahui apa yang pemandu bas lakukan, termasuk memandu di lorong kanan secara berterusan dan memasuki lorong kecemasan. Pemandu terbabit terus mengaku bersalah kerana ada bukti,” katanya.

Menerusi penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road Ban) selama empat hari pada 29 dan 30 Mac (sebelum perayaan) serta 5 dan 6 April (selepas perayaan), beliau berkata, JPJ mengeluarkan 163 notis dan menahan 124 kenderaan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, 124 kenderaan itu ditahan supaya tidak berada di atas jalan raya hingga tempoh ‘Road Ban’ selesai, iaitu selama 48 jam, selain mengeluarkan kompaun terhadap pemilik kenderaan terbabit.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment