Bayaran sewa mangsa minggu depan

SHAH ALAM 9 April – Bantuan kos sewaan kali pertama kepada semua keluarga yang terjejas dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights akan dilunaskan pada minggu hadapan, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau memberitahu, bantuan sewa RM2,000 sementara rumah mereka yang terlibat diperbaiki membabitkan 469 keluarga.

“Mulai Isnin, selepas selesai sumbangan tunai (RM10,000 dan RM5,000), kita akan mula menyalurkan bantuan kos sewaan RM2,000 dan menguruskan penempatan sementara mereka sementara kediaman dibaiki.

“(Tetapi)… kita selesaikan dulu penyampaian sumbangan awal dan selepas itu kita akan uruskan perumahan,” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Annexe di sini hari ini.

Amirudin berkata, taklimat sudah diberikan mengenai penempatan sementara terutamanya membabitkan Airbnb di mana setakat ini 16 keluarga sudah bersetuju.

“Selebihnya terpulang kepada mereka, dengan tawaran sewa RM2,000 saya rasa mereka pun hendak cari kediaman selesa sebab sama ada Smart Sewa atau Airbnb kedudukannya agak jauh dari lokaliti asal mereka.

“Tetapi jika mereka bekerja di sekitar Cyberjaya atau Putrajaya itu agak sesuai juga… tetapi tidak mengapa kita akan bagi mereka pilihan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Selangor bersetuju menampung kos sewaan kepada pemilik dan penyewa yang terjejas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.356 juta.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan memberikan sebanyak RM2,000 kepada setiap pemilik dan penyewa rumah yang terjejas selama tempoh enam bulan.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran utama paip gas milik Petronas di Putra Heights terbakar dan meletup sebelum dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh hampir lapan jam.

Sebanyak 437 kediaman di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru di situ dilaporkan terkesan dengan 81 daripadanya musnah sepenuhnya manakala 81 lagi rosak sebahagian dan 57 lagi terjejas tetapi strukturnya masih utuh.

Baki 218 rumah lagi sudah diperiksa dan didapati tidak terjejas manakala 151 lagi diisytiharkan selamat untuk didiami semula.

Nnn

Related posts

Leave a Comment