Amanah mengharap tetapi itu hak PM

KEPALA BATAS 17 Nov. – Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada Anwar Ibrahim untuk membuat keputusan siapa yang difikirkan sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata walaupun meletakkan harapan jawatan itu disandang dalam kalangan pemimpin mahupun ahli parti itu, Perdana Menteri lebih berhak dalam menentukan Kabinet pimpinannya.

“Jika diikutkan, nama dalam kalangan semua ahli Amanah layak menjadi (Menteri KPDN) yang kami ada 200,000 ahli secara keseluruhannya dan mereka semua layak. kita mengharap, …tetapi soal ini adalah hak PM kerana PM menentukan Kabinet,” katanya.

Beliau mengulas sama ada terdapat individu dalam kalangan Amanah yang akan dilantik sebagai Menteri KPDN menggantikan Timbalan Presiden parti itu Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Terdahulu Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hadir merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Kepala Batas di Dewan Bakau Tua, Penaga, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Mohamad berkata, KPKM akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian utama berhubung cadangan Gabungan Pengilang Beras Malaysia yang meminta kerajaan mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih.

Beliau berkata pihaknya menerima setiap cadangan yang dikemukakan dan akan membuat keputusan selepas berbincang mengenainya untuk tindakan lanjut.

Katanya, perbincangan akan membabitkan sekurang-kurangnya empat kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan KPDN.

“…kita berusaha untuk menyelesaikan masalah beras yang sedang berjaya kita tangani dan akan pulih sepenuhnya, sama seperti isu ayam serta telur ayam,” katanya mengulas cadangan Gabungan Pengilang Beras Malaysia meminta kerajaan mewujudkan hanya satu gred tunggal beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Besar Putih Import (BPI) seperti kelaziman.

 

 

Related posts

Leave a Comment