PUTRAJAYA 8 April – Sebanyak 39 orang daripada keseluruhan 150 mangsa yang terbabit dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lalu masih menerima rawatan di hospital dan klinik.
Daripada jumlah itu, 17 mangsa dirawat di hospital kerajaan iaitu 12 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing seorang di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Ampang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Manakala 22 mangsa lagi di kemudahan kesihatan swasta, termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun.
Menurut data harian Kementerian Kesihatan (KKM) mangsa yang dirawat di ICU itu melecur sebanyak 21 peratus pada tahap separa ketebalan dan ketebalan penuh di seluruh anggota badan, muka, leher dan belakang badan, dengan sindrom kegagalan fungsi pelbagai organ.
Selain itu, aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, selain di Hospital Putrajaya (HPj) dengan 112 individu menerima intervensi MHPSS.
Antara intervensi yang dilaksanakan adalah relaksasi, ekspresi seni dan kemahiran asas bantuan awal psikologi (PFA).
(Foto Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa melawat mangsa di Hospital Serdang 1 April lalu)
Nnn