MELAKA 31 Okt . – Sebanyak 76 calon mewakili pelbagai parti dan gabungan politik serta tiga calon Bebas layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka ke-16, pada 14 November ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun yang mengesahkan demikian berkata, Pakatan Harapan (PH) bertanding 24 kerusi; diikuti Barisan Nasional (BN) 23 dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) 16.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di tujuh kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) pula bertanding di lima kerusi, Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) satu kerusi, manakala tiga individu bertanding sebagai calon Bebas.
Mengikut penjuru pula, pertandingan satu lawan satu melibatkan 11 kerusi, tiga penjuru 11 kerusi dan empat penjuru enam kerusi manakala bilangan yang bertanding mengikut jantina pula membabitkan 65 calon lelaki dan 14 calon wanita.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Persekutuan Ayer Keroh di sini hari ini.
Katanya, sebanyak dua calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, 14 calon (30 hingga 39 tahun), 33 calon (40 hingga 49 tahun), 22 calon (50 hingga 59 tahun) dan lapan calon berusia 60 tahun ke atas.
Beliau berkata, selepas proses penamaan calon hari ini, tempoh berkempen adalah sehingga 11.59 malam, 13 November.
“SPR menubuhkan 28 Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon yang bertanding sepanjang tempoh berkempen.
“SPR juga berharap dan mengingatkan agar aktiviti berkempen yang dibenarkan berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan ditetapkan,” katanya.
Proses penamaan calon berlangsung serentak di 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri bermula 9 pagi dan ditutup sejam kemudian sementara 14 November sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 10 November.
Nnnn
