Pantau 6 bulan sebelum fasa endemik

JAKARTA 24 Mei – Indonesia perlu mengambil masa lebih enam bulan bagi memantau keadaan sebelum boleh mengesahkan negara itu bebas daripada pandemik Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dante Saksono Harbuwono.

Katanya, buat masa sekarang, belum masanya untuk menyebut mengenai fasa endemik.

“Situasi sekarang adalah pandemik terkawal. Ada beberapa peringkat lagi yang mesti dilalui,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pendengaran (RDP) bersama Suruhanjaya IX Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia di sini semalam..

Menurut laporan portal, antara parameter untuk Indonesia memasuki fasa selamat Covid-19 ialah mengekalkan nombor pembiakan berkesan (RT) kurang daripada satu selama lebih enam bulan.

RT mencerminkan jumlah kes tambahan yang berlaku dalam masyarakat selepas pelbagai langkah pencegahan diberikan untuk mengawal pandemik, seperti pelaksanaan sekatan aktiviti masyarakat (PPKM), vaksinasi Covid-19, dan langkah lain yang dilaksanakan di Indonesia.

“Terdapat beberapa fasa untuk memasuki endemik, salah satunya apabila RT kurang daripada satu selama lebih enam bulan,” kata Harbuwono.

Indonesia masih perlu mengejar sasaran 70 peratus lengkap vaksinasi untuk seluruh penduduk bagi mencapai imuniti kelompok terhadap penularan Covid-19.

Berdasarkan data vaksinasi Covid-19 Kementerian Kesihatan Indonesia, pencapaian vaksinasi dos penuh atau dua dos setakat petang Isnin berjumlah 166.9 juta daripada sasaran lebih 208 juta.

Menurut Harbuwono, pandemik Covid-19 bukanlah yang pertama melanda dunia.

“Pandemik Selesema Sepanyol mengambil masa dua hingga tiga tahun. Ada yang hilang (virus) dan ada yang masih dalam komuniti. Namun, memandangkan imuniti terkumpul secara biologi dan berpindah daripada ibu kepada anak, virus itu berkurangan,” katanya.

Peralihan daripada pandemik kepada fasa endemik, katanya, memerlukan virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19 hilang sepenuhnya.

“Ia boleh berlaku, tetapi virus ini boleh berhenti merebak kerana ada sistem imun. Ada penyesuaian epigenetik, ada perubahan dalam gen yang badan menyesuaikan diri sehingga gen dalam badan menjadikan badan lebih kebal daripada pandemik sebelum ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment