SUBANG JAYA 4 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, pada 30 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya bagaimanapun perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu adalah punca kejadian terbabit pada Selasa lalu.
“Kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan, terletak kira-kira 30 meter (m) dari lokasi letupan. Namun, kita belum mengenal pasti sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya,” katanya.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau juga memberitahu terdapat tiga unsur yang mungkin mendorong insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights itu iaitu yang membabitkan gas, udara dan percikan api.
Katanya, setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan insiden terbabit.
“Berdasarkan keterangan saksi, eskavator yang dilihat pada hari terbabit dikatakan mahu dibawa keluar dari tapak projek, tetapi mereka dikatakan tidak sempat berbuat demikian.
“Terdapat tiga paip gas natural yang membawa bahan berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand. Ketika kejadian, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit,” katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, kebakaran besar paip gas menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500m yang bermula sekitar pukul 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.
Rentetan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kelmarin, melakukan penandaan terhadap struktur rumah terjejas bagi mengenal pasti tahap keselamatannya, sebelum pasukan penyiasat memulakan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Hussein berkata, jawatankuasa teknikal bagi siasatan insiden itu akan melakukan kerja mengorek kawah berkedalaman lapan meter (m) di lokasi kejadian pada 15 April ini.
Katanya, pengorekan kawah itu bertujuan mengeluarkan ekskavator yang terbenam akibat letupan pada Selasa lalu.
Beliau juga memberitahu, pihaknya sudah mengenal pasti pemaju, kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang terbabit dalam aktiviti mengorek tanah di kawasan letupan dengan menggunakan dua jentera, salah satunya terbenam dalam kawah sedalam lapan meter (m) dan berkelebaran 70 meter diameter yang terhasil akibat letupan itu
Nnn
