Penjawat awam ditahan edar bahan lucah

KUALA LUMPUR 4 April – Penjawat awam dan akauntan antara empat individu ditahan kerana memiliki dan mengedar bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) menerusi operasi Cyber Guardian membabitkan enam negara bermula 24 Februari hingga 28 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata individu terbabit berusia 26 hingga 49 tahun itu ditahan di sekitar Kajang, Ampang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Beliau berkata, semua mereka memiliki lebih 50,000 bahan lucah kanak-kanak yang disimpan dalam pelbagai peranti elektronik dan penahanan empat suspek itu susulan maklumat serta operasi bersepadu dijalankan di enam negara diketuai Pasukan Polis Singapura.

“Operasi di negara ini dijalankan pada 20 Mac lalu bagi mengesan suspek terbabit dalam aktiviti mengakses, menyimpan dan berkongsi bahan berkaitan CSAM.

Hasil operasi itu, kita berjaya menahan empat suspek dan merampas lebih 50,000 bahan CSAM,” katanya pada sidang media operasi Cyber Guardian di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ayob berkata, selain Malaysia dan Singapura, operasi bersepadu itu turut membabitkan Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.

Secara keseluruhan, katanya, operasi membabitkan enam negara itu berjaya menahan 435 individu terbabit jenayah mengedar bermula 24 Februari hingga 28 Mac lalu.

“Modus operandi suspek ialah menggunakan peranti elektronik secara dalam talian untuk mengakses dan mendapatkan bahan CSAM, kemudian berkongsi bahan terbabit.

“Di kumpulan Telegram pula, ada yang lain menyimpan bahan bahan berkenaan untuk kepuasan sendiri. Kebanyakan bahan pornografi ini dimuat turun disimpan dalam peranti elektronik,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment