Siasat kewujudan unsur jenayah

SUBANG JAYA 4 April – Polis membuka satu kertas siasatan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur jenayah yang mengakibatkan insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, di sini, kata Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan.

Beliau berkata,  pihak berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan yang akan  meneliti sama ada wujud jenayah khianat atau kecuaian di sebalik kejadian itu.

“Siasatan ini bermula semalam kerana sejak hari pertama kejadian, agensi tindak balas giat melakukan aktiviti mencari dan menyelamatkan mangsa serta menempatkan penduduk yang terjejas di pusat pemindahan sementara (PPS).

Kertas siasatan dibuka selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengadakan mesyuarat dan menubuhkan jawatankuasa teknikal,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Selangor,  Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Shukri Ishak; serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi Selasa lalu, kebakaran akibat letupan paip gas bawah tanah itu, menyebabkan kemusnahan besar dan sejumlah mangsa mengalami kecederaan, selain sebahagian penduduk terpaksa berlindung di PPS.

Sementara itu, Hussein berkata, pasukan penyiasatan sedang mendapatkan data daripada Petronas yang memiliki sistem untuk mengesan sebarang kebocoran yang mungkin berlaku pada setiap saluran paip gas bawah tanah milik syarikat itu.

Katanya, langkah itu bagi menentusahkan sama ada terdapat kebocoran pada paip gas berusia 30 tahun di lokasi kejadian.

“Petronas menerusi maklum balas awal memberitahu tiada sebarang amaran berkaitan kebocoran gas pada paip bawah tanah yang terletak di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, kita perlu mendapatkan butiran terperinci menerusi sistem berkenaan bagi memastikan benar-benar tidak berlaku kebocoran pada laluan paip terbabit,” katanya .

Nnnn

Related posts

Leave a Comment