97 terbunuh serangan udara Israel

GAZA – Sebanyak 97 mangsa terbunuh akibat serangan udara Israel dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk sekurang-kurangnya 20 mangsa yang terkorban sekitar waktu subuh di Shejaia, di pinggir bandar di utara Gaza.

Pasukan penyelamat berdepan tugas ngeri mengeluarkan 31 mayat termasuk 19 kanak-kanak, selepas serangan Israel memusnahkan sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan bagi pelarian Palestin di sini.

Pada Khamis, satu lagi serangan udara Israel meragut nyawa sekurang-kurangnya 31 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, di dalam sebuah bangunan sekolah yang dijadikan tempat perlindungan.

Bagaimanapun, tentera Israel berkata serangan itu menyasarkan ‘pengganas’ utama Palestin.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata ramai wanita dan kanak-kanak antara yang maut, manakala enam masih belum ditemui dalam serangan ke atas Sekolah Dar al-Arqam di kejiranan Al-Tuffah, timur laut Kota Gaza.

“Antara mangsa yang hilang ialah seorang wanita hamil yang mengandung anak kembar,” katanya yang menganggarkan lebih 100 orang cedera dalam serangan itu.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan berkata, pasukannya menyerang pusat arahan dan kawalan Hamas di kawasan Gaza.

“Pusat arahan dan kawalan digunakan oleh pengganas untuk merancang dan melaksanakan serangan terhadap orang awam dan tentera Israel,” menurut IDF.

IDF berkata, ia tidak dapat mengesahkan sama ada serangan itu menyasarkan sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Hamas mengecam serangan itu dan menuduh kerajaan Israel meneruskan sasaran kepada orang awam yang tidak bersalah sebagai sebahagian daripada pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Semenanjung Gaza.

Related posts

Leave a Comment