GAZA – Tentera Israel mara ke dalam runtuhan di bandar Rafah untuk menawan bandar itu menyebabkan ratusan ribu penduduk Palestin kembali menjadi pelarian bagi mencari perlindungan.
Sehari selepas mengisytiharkan hasrat mereka untuk menawan sebahagian besar kawasan yang sesak itu, tentera Israel mara ke bandar di pinggir selatan Gaza yang menjadi tempat perlindungan terakhir bagi pelarian dari kawasan lain.
Kawasan berkenaan merangkumi sebahagian daripada ‘zon keselamatan’ baharu yang diumumkan ingin dikuasai pasukan pertahanan Israel (IDF).
Pakar perubatan berkata, tiga peluru berpandu memusnahkan bangunan sekolah Dar Al-Arqam di kejiranan Tuffah di Gaza.
Tentera Israel berkata, serangan itu turut memusnahkan pusat arahan yang digunakan oleh kumpulan Hamas untuk merancang dan melaksanakan serangan terhadap orang awam dan tentera Israel.
Serangan untuk menawan Rafah adalah peningkatan besar dalam perang, yang dimulakan Israel bulan lalu selepas menghentikan gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Januari.
Di Shejaia di utara, ratusan penduduk berpusu-pusu keluar semalam, apabila Israel mengarahkan penduduk berpindah.
Setakat ini, Israel tidak menyatakan matlamat jangka panjang untuk zon keselamatan yang ingin dikuasainya.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berkata tentera sedang mengambil kawasan dipanggil ‘Morag Axis’, merujuk kepada bekas penempatan Israel yang terbiar antara Rafah dan Khan Younis
Penduduk Gaza yang kembali ke rumah mereka yang runtuh semasa gencatan senjata kini diarahkan untuk meninggalkan komuniti di pinggir utara dan selatan semenanjung itu.
Mereka bimbang Israel berniat mengurangkan penduduk kawasan itu sama sekali, menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal secara kekal sementara Israel merampas beberapa tanah pertanian terakhir Gaza dan infrastruktur air kritikal.
Matlamat Israel sejak permulaan perang ialah memusnahkan kumpulan Hamas yang mengendalikan Gaza selama hampir dua dekad, tetapi tanpa usaha menubuhkan pentadbiran alternatif, Hamas kembali berkuasa semasa gencatan senjata.
Nnnn