SHAH ALAM 3 April- Hasil siasatan awal (72 jam) insiden kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya akan dimaklumkan esok, Jumaat, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan merangkumi beberapa skop, kajian, dan dapatan.
Menurutnya, siasatan akan merujuk kepada dua aspek, iaitu teknikal yang dikendalikan beberapa jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Petronas dan badan teknikal lain.
Katanya, aspek kedua akan merujuk kepada kecuaian atau kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan.
“Datuk Hussein selaku ketua atau unitnya adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai siasatan dan akan mengemukakan beberapa skop, kajian, dan dapatan yang diberikan,” katanya pada sidang media di Bangunan SUK Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membabitkan 39 agensi kerajaan negeri dan persekutuan di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, di sini hari ini yang turut dihadiri Hussein.
Amirudin berkata, sebanyak 108 laporan polis diterima berhubung insiden itu dan akan membuat penilaian termasuk video tular di media sosial serta memanggil pihak yang mengeluarkan video itu jika ada keperluan untuk pengesahan dan mendapatkan maklumat lanjut.
“Kita mengambil maklum semua klip video, laporan, maklumat, dan kita akan memanggil semua pihak yang terbabit dan hal itu akan dimaklumkan mulai esok oleh Ketua Polis Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, bantuan awal yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing sebanyak RM2,500 dan RM5,000 untuk mangsa yang terkesan akibat letupan paip gas di Putra Height akan disalurkan mulai Isnin depan.
Amirudin berkata bagi tujuan itu, data mangsa kini sedang dilengkapkan untuk memulakan proses penyampaian bantuan kepada mereka yang terjejas.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri akan mengambil tanggungjawab memurnikan data jumlah penduduk yang benar-benar terkesan dengan insiden kebakaran ini supaya tidak timbul sebarang isu mengambil kesempatan.
Ia termasuk isu (mangsa) yang tertinggal atau terlepas dalam menerima sokongan dan bantuan yang ditetapkan, khususnya untuk (mangsa yang tinggal) di Taman Harmoni dan juga Kampung Kuala Sungai Baru,” katanya.
Beliau berkata, unit bencana daerah ataupun pegawai daerah selaku ketua unit bencana daerah akan bekerjasama dengan JKM, ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan), Petronas dan sebagainya bagi memurnikan data terbabit.
“Ia untuk memulakan proses penyampaian sokongan sama ada RM2,500 dan RM5,000 yang diumumkan oleh Perdana Menteri seawal Isnin akan datang.
Jadi, dalam masa beberapa hari, proses itu akan dibuat dan penyampaian akan bermula Isnin (depan), Selasa dan hari-hari seterusnya. Kita akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat dan masa tersebut,” katanya.
Mengenai kediaman yang rosak keseluruhan atau ‘total lost’ akibat letupan paip gas, Amirudin mengesahkan ia membabitkan 87 unit yang tidak boleh didiami lagi manakala sebanyak 148 rumah yang terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami semula selepas melalui proses pembaikan.
Bagaimanapun beliau berkata, mangsa terjejas perlu menghuni PPS yang disediakan untuk tempoh seminggu lagi.
“Selepas itu, kita akan mula seminggu ataupun 10 hari selepas memulakan penempatan yang lebih selesa, sementara kediaman mereka dibaik pulih ataupun ada proses baik pulih yang akan dilaksanakan perbincangan daripada semasa ke semasa,” katanya.
Nnnn
