Syawal menggamit jemaah umrah

RAMADAN, bulan ibadah sudah berakhir. Syukur kepada mereka yang berjaya memanfaatkan Madrasah Ramadan dengan pelbagai ibadah. Semoga kita terus istiqamah dalam menunaikan ibadah terutama solat berjemaah.

Bagi yang berkemampuan, Ramadan lalu juga dimanfaatkan untuk berada di Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah. Ada yang berada sebulan di sana.

Diriwayatkan Imam al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256), Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Jika datang bulan Ramadan, lakukanlah umrah, kerana pahala umrah itu sama dengan pahala mengerjakan haji.” Dalam riwayat muslim, “Sama dengan pahala menunaikan haji bersamaku.”

Maka tidak hairanlah sepanjang Ramadan lalu, Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah mencatat kehadiran luar biasa.

Dalam tempoh 10 hari pertama, Masjidilharam merekodkan kehadiran 25 juta jemaah umrah dan pengunjung di mana lebih 5.5 juta umat Islam menunaikan ibadah umrah, peningkatan mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, sepanjang Ramadan lalu, Masjidilharam dan Masjid Nabawi menerima kehadiran 122,286,712 jemaah,  di mana 16,558,241 menunaikan umrah manakala 92,132,169 jemaah di Masjidil Haram dan 30,154,543 di Masjid Nabawi.

Mereka ini termasuklah jemaah Malaysia yang turut ke dua Tanah Suci itu sama ada melalui syarikat pengendali haji dan umrah atau secara bersendirian.

Andalusia Travel & Tours misalnya, membawa 3,855 jemaah sepanjang Ramadan lalu melibatkan penerbangan Saudi Airlines, Malaysia Airlines dan Emirates Airlines, seawal menyambut Ramadan bagi penerbangan 19 Februari.

Menurut Pengarah Urusannya, Ibrahim Mat Sin, penerbangan terakhir Ramadan adalah pada 28 Mac lalu.

Selasa lalu, 1 April, bermula penerbangan jemaah Syawal Andalusia dan setakat ini 3,454 sudah berada dalam senarai penerbangan sehingga 13 April ini yang melibatkan Saudi Airlines, Malaysia Airlines, Qatar Airways, AirArabia, Turkish Airlines, Etihad Airways dan Oman Air.

Hakikatnya, menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan adalah satu pengalaman yang amat berharga. Sekali berada di sana sudah tentu perasaan ingin berada di sana pada bulan puasa berterusan pada tahun-tahun berikutnya.

Berada di Tanah Suci pada bulan Ramadan, fokus hanya kepada ibadah – umrah, solat wajib dan sunat, qiamullail, membaca al-Quran, bersedekah atau memberi makan.

Paling menarik apabila berada di sana pada 10 malam terakhir, di mana berlangsung qiamulail dengan pengisian solat malam.

Pengalaman pertama penulis berada pada 10 malam terakhir Ramadan adalah ketika berpeluang membuat liputan Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah pada 14 dan 15 Ogos 2012.

Mesyuarat yang dipanggil oleh Raja Abdullah Abdul Aziz itu dihadiri Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dengan fokus kepada permasalahan umat Islam yang berlaku ketika itu terutama melibatkan Myanmar dan Syria.

Apabila ada masa berbaki selepas sidang tamat, kumpulan wartawan kami turut mengambil peluang untuk melihat suasana di Madinah. Dengan menyewa van pergi balik, sempatlah kami melihat suasana ketika iftar dan solat Tarawih.

Bermula dari situ timbul keazaman untuk mengulangi pengalaman itu sekiranya ada rezeki pada masa-masa akan datang. Alhamdulillah, Allah SWT membuka peluang itu untuk ke sana beberapa kali termasuk 10 hari terakhir Ramadan 2023.

Paling menarik apabila ditugaskan membuat liputan Perdana Menteri, Najib menyertai Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat (AS) di Pusat Persidangan Antarabangsa Raja Abdul Aziz, di Riyadh menjelang Ramadan 2017.

Rugi jika sudah berada di tanah Arab, tidak berkunjung sekurang-kurangnya untuk menunaikan umrah di Makkah.

Bagi memastikan perjalanan ke dua Tanah Suci berjalan lancar selepas berakhir tugasan di Riyadh, saya awal-awal lagi meminta Andalusia mengaturkan perjalanan untuk menunaikan umrah dengan kos dibiayai sendiri.

Alhamdulillah, Ibrahim (Andalusia) menguruskannya,  mengatur penerbangan dan penginapan dari Riyadh ke Madinah kemudian ke Makkah sebelum pulang melalui Jeddah.

Penerbangan Riyadh ke Madinah mengambil masa 1 jam 35 minit. Disambut oleh mutawif Andalusia dan dibawa ke hotel di Madinah serta dimasukkan dalam kumpulan jemaah sedia ada bersama rombongan Abdullah Pok Ja dari Grik.

Dari Madinah ke Makkah dan dapatlah beberapa hari berpuasa di sana sebelum pulang melalui Jeddah bersama jemaah kumpulan lain dari Andalusia.

Walaupun hanya beberapa hari, nikmat berpuasa di sana amat menyeronokkan. Cuma sejak tahun kebelakangan ini amat mencabar susulan kehadiran sebegitu ramai jemaah sehingga peluang masuk bangunan utama Masjidilharam terjejas.

Mungkin selepas musim umrah, keadaan lebih melegakan menjelang persiapan untuk menyambut kehadiran jemaah haji.

Bagi yang tidak berkesempatan menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan mungkin boleh mencuba pula untuk bulan Syawal, mungkin lebih tenang berbanding kepadatan yang berlaku sepanjang Ramadan.

Dalam hal ini, Andalusia selain sudah mempunyai 3,454 jemaah Syawal, membuka peluang baharu dengan menawarkan pakej khas penutup umrah 1446 H pada harga serendah RM5,490 bersama Penerbangan Malaysia Airlines.

Menurut Ibrahim,, dua tarikh penerbangan sewa khas itu adalah pada 19 April sehingga 29/30 April dan 20 April hingga 30/01 April, kedua-duanya bagi sektor Kuala Lumpur -Jeddah/Madinah-Kuala Lumpur.

Pakej 12 hari 10 malam sama seperti kebanyakan pakej lain sebelum ini melibatkan penginapan tujuh malam di Makkah dan tiga malam di Madinah.

Harga pakej terendah itu melibatkan bilik berempat manakala bilik bertiga pada harga RM6,190 dan bilik berdua RM6,990 manakala jemaah yang mahu menaik taraf tempat duduk kelas perniagaan dikenakan tambahan RM3,500.

Mungkin kehadiran pada bulan Syawal juga kita boleh melihat suasana berbuka dalam kumpulan kecil kerana pengalaman sebelum ini ada sahaja yang menawarkan makanan pada hari-hari tertentu puasa contohnya puasa sunat Isnin dan Khamis.

Lebih-lebih lagi pada bulan Syawal, kita digalakkan puasa sunat enam hari yang juga menawarkan ganjaran yang besar seperti sabda RasulullahSAW yang bermaksud: “ Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” Riwayat Muslim (1164).

Nnn

Related posts

Leave a Comment