SHAH ALAM 3 April – “Ini bukan masanya untuk berbahas dalam dewan yang mulia,” tegas Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika menolak gesaan pembangkang negeri itu untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membincangkan tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights.
Menteri Besar Selangor itu menegaskan beliau memilih untuk memberi perhatian isu paling mustahak ketika ini iaitu untuk menyelesaikan siasatan dan menangani isu berbangkit terkait kes berkenaan.
“Kita selesaikan dulu siasatan dan sebagainya. Ini bukan masanya untuk berbahas dalam dewan yang mulia. Ini masa untuk kita selesaikan hal ini terutama dalam isu keselamatan dan sebagainya.
“Sidang DUN akan berlangsung pada bulan tujuh (Julai) nanti. Saya rasa kita ada banyak masa dan ada kesempatan untuk bahaskan dengan lebih tertib dan lebih selesa pada waktu tersebut,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membabitkan 39 agensi kerajaan negeri dan persekutuan di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, hari ini.
Semalam Ketua Pembangkang Selangor, Mohamed Azmin Ali, mahu Amirudin memanggil sidang khas DUN bagi membincangkan kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong yang menyebabkan ramai cedera dan banyak sekali kemusnahan harta benda.
Gesaan itu dibuat oleh Mohamed Azmin selepas mendakwa kejadian itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap pematuhan dan penguatkuasaan dalam aspek keselamatan.
Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang turut menggesa kerajaan Selangor menjalankan siasatan bebas, terperinci dan telus bagi menjawab persoalan yang berbangkit berhubung kejadian terbabit.