SUBANG JAYA 3 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau andaian berhubung insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, kelmarin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata menerusi peruntukan sedia ada, tindakan akan diambil ke atas pihak yang mengambil kesempatan atau melakukan sesuatu yang menimbulkan ketegangan.
Katanya, KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memantau keadaan terbabit dari semasa ke semasa.
“Masyarakat perlu memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa membuat siasatan kejadian terbabit. Kita harap orang ramai mengelak daripada menyebarkan berita atau maklumat palsu supaya tidak mengelirukan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa kejadian itu di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Dr Shamsul Anuar berkata, masyarakat yang mahu mendapatkan maklumat boleh mengakses di laman sesawang atau kenyataan media rasmi daripada jawatankuasa berkaitan.
“Ini bertujuan mengelak kekeliruan dan menimbulkan suasana tidak baik terutama kepada mangsa. Ini juga bentuk sumbangan kita kepada negara dengan mengehad dan memastikan tiada isu tidak berkaitan ditimbulkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah laporan polis berkaitan insiden itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa di mana setakat ini sebanyak 108 laporan diterima, kebanyakan membabitkan kerosakan harta benda dialami mangsa.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM komited membantu mangsa dan mengawal situasi supaya tidak berlaku kes kecurian di lokasi kejadian.
“Setakat ini, kita dimaklumkan tiada kes kecurian berlaku di situ, dengan keseluruhan laporan diterima membabitkan kedua-dua lokasi letupan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi kelmarin, kebakaran akibat letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar dan sejumlah mangsa mengalami kecederaan, selain sebahagian penduduk terpaksa berlindung di PPS.
Nnn