Kes meningkat di Thailand

BANGKOK 8 Julai – Thailand mencatatkan kes dan kematian tertinggi hari ini dengan merekodkan 7,058 kes baharu Covid-19 serta 75 kematian yang membawa kepada 308,230 kes dan 2,462 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), sebanyak 7,049 kes melibatkan penularan tempatan, merangkumi 1,732 melalui pengesanan kes aktif dan sembilan kes import.

Kes kematian pula melibatkan 39 lelaki dan 36 wanita berusia antara 33 dan 94 tahun, termasuk 74 rakyat tempatan dan seorang warga China.

Bangkok yang mencatatkan 121 kluster mendahului kes tertinggi dengan merekodkan 2,212 kes baharu dan 33 kematian.

Berikutan kes yang tinggi, Kementerian Kesihatan Awam Thailand mengesyorkan langkah pencegahan lebih ketat dikuat kuasa di daerah berisiko tinggi, untuk menghentikan penularan Covid-19.

Kementerian mencadangkan langkah pencegahan dan keselamatan termasuk mengehadkan pergerakan orang ramai, waktu operasi perniagaan dan pengangkutan awam selain menutup perniagaan tidak penting.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat CCSA esok untuk mempertimbang sekatan baharu.

Related posts

Leave a Comment