SEPANG 3 April – Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyalurkan bantuan kepada pelajar-pelajar di semua peringkat yang terjejas persekolahan mereka akibat tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, bagi tujuan ini, YIDE akan mengenal pasti jumlah pelajar yang terjejas bagi menyalurkan bantuan merangkumi pakaian seragam, alat tulis, buku dan peralatan sekolah serta keperluan lain yang diperlukan kepada pelajar yang terlibat.
Katanya, bantuan itu adalah antara beberapa ketetapan yang dibuat selepas beliau, Timbalan Pengerusi MAIS merangkap Pengerusi YIDE, Ketua Polis Negeri Selangor dan Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor menghadap Sultan Selangor pagi ini bagi membincangkan bantuan bagi pemulihan mangsa tragedi itu.
Bantuan ini diberikan untuk memastikan pelajar ini tidak perlu menangguhkan persekolahan mereka dan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Selain itu, YIDE juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelaraskan bantuan pengangkutan pergi dan balik sekolah kepada pelajar yang terlibat sepanjang tempoh yang diperlukan untuk tujuan pemulihan tragedi ini.
“Walaupun YIDE ditubuhkan oleh MAIS sebagai sebuah institusi kebajikan untuk menyantuni anak-anak yatim beragama Islam dan menyalurkan bantuan akibat bencana di Negeri Selangor, namun bagi menyantuni mangsa tragedi di Putra Heights selaras dengan titah Sultan Selangor, bantuan oleh YIDE akan turut diberikan kepada mangsa pelajar yang bukan beragama Islam.
“Bagi tujuan ini, Sultan Selangor menitahkan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) digunakan untuk memberikan bantuan kewangan kepada YIDE bagi membolehkan YIDE menyalurkan bantuan kepada pelajar yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pertemuan tersebut, Sultan Selangor turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi yang berlaku dan baginda juga mengharapkan agar mangsa dan keluarga mereka dapat menghadapi ujian Allah SWT ini dengan penuh kesabaran.
Sultan Selangor turut menitahkan pengurusan masjid dan surau terutamanya yang berdekatan dengan lokasi tragedi di Putra Heights bersedia untuk membolehkan masjid dan surau berkenaan digunakan sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) kepada mangsa yang terlibat.
Bagi tujuan ini, MAIS akan memperuntukkan bantuan kewangan melalui sumber Baitulmal sama ada wakaf atau sumber am untuk pemulihan masjid dan surau yang rosak akibat tragedi ini jika ada, termasuk perbelanjaan untuk menyelenggara dan memulihkan masjid dan surau yang mengalami kerosakan selepas ia digunakan sebagai PPS.
Selain itu, Sultan Selangor turut menitahkan aktiviti solat fardu berjemaah hendaklah terus dilaksanakan seperti biasa di masjid dan surau dan tidak ditangguhkan sepanjang masjid dan surau tersebut digunakan sebagai PPS.
Katanya, Sultan Selangor juga menitahkan Lembaga Zakat Selangor mengenal pasti jumlah mereka yang mengalami kemusnahan dan kerosakan harta benda bagi tujuan menyalurkan bantuan zakat bersesuaian terutama kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal atau mengalami kerosakan rumah yang teruk.
Nnn