India catat 261,500 kes baharu

INDIA merekodkan 261,500 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 14.8 juta orang.

Kematian pula meningkat kepada 177,150 apabila 1,501 lagi kes pesakit meninggal dunia dilaporkan.

Berikutan gelombang kedua pandemik berkenaan, negara pengeluar vaksin Covid-19 terbesar dunia, kini mengalami kesukaran menyediakan dos yang mencukupi bagi penduduknya.

Perdana Menteri Narendra Modi juga menggesa pihak berkuasa meningkatkan pengeluaran Covid-19. Sekurang -kurangnya lima negeri mengalami kekurangan dos.

Kerajaan India juga dilaporkan telah mengalihkan tumpuan daripada menyediakan dos vaksin untuk COVAX dan mula memberi keutamaan kepada penduduk sendiri.

Di samping itu, negeri dan bandar-bandar utama telah melaksanakan sekatan baharu, termasuk perintah berkurung pada hujung minggu dan waktu malam di Delhi, yang menempatkan sekitar 19 juta penduduk.

Pada Mac lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, penghantaran vaksin Covid-19 oleh Serum Institute of India (SII) kepada negara- negara ekonomi berpendapatan rendah akan mengalami kelewatan antara Mac hingga April.

Untuk rekod, India menghasilkan 60 peratus daripada keseluruhan vaksin global dan menempatkan SII, iaitu pengeluar vaksin terbesar dunia.

Melalui perjanjian COVAX yang dimeterai pada tahun lepas, SII akan menghasilkan 200 juta dos untuk 92 negara peserta.

Ketika ini, India telah menghasilkan 28 juta dos vaksin AstraZeneca, dan perlu mengikut jadual untuk menyediakan 40 juta dos untuk Mac, dan 50 juta dos untuk April.

Related posts

Leave a Comment