78 unit rumah, 10 unit kedai musnah

SUBANG JAYA 1 April  – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan sebanyak 88 unit bangunan musnah dalam kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata 88 unit bangunan berkenaan merangkumi 78 unit rumah dan 10 unit rumah kedai.

Menurutnya, kategori kebakaran rumah antara 10 hingga 90 peratus manakala punca insiden terbabit masih dalam siasatan manakala secara keseluruhan rumah terjejas adalah 237.

Selain itu, sebanyak 305 mangsa, dengan majoritinya cedera akibat melecur dan tersedut haba panas.

Nor Hisham berkata sebanyak 365 kenderaan terjejas dalam kebakaran itu membabitkan 275 kereta dan 56 motosikal manakala 33 lagi mengalami kerosakan.

Katanya, hasil pemantauan selepas penutupan empat injap utama di Kampung Lombong Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Klang pagi tadi mendapati tiada lagi aliran gas dikesan petang tadi.

Keadaan itu menjadikan kemungkinan berlakunya letupan susulan adalah sangat rendah dan sekali gus memudahkan pasukan penyiasat bomba untuk masuk bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Penduduk boleh masuk ke kediaman mereka dengan pemantauan pihak berkuasa untuk mengambil barang atau haiwan peliharaan mereka. Ketika ini tiada bekalan elektrik di sekitar di lokasi kejadian,” katanya.

Nor Hisham berkata seramai 35 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditugaskan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, api berjaya dipadam sepenuhnya pada 3.45 petang dan seramai 325 anggota serta pegawai daripada 11 agensi terbabit dalam operasi pemadaman dan menyelamat.

“Kerja pembersihan dan pemeriksaan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam ini,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment