Kebakaran jejas kawasan 28 hektar

SUBANG JAYA 1 April – Kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights,  menjejaskan kawasan seluas 290 meter persegi dengan keluasan keseluruhan 28 hektar, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau berkata maklumat rasmi setakat ini menunjukkan lebih 300 premis rosak dengan 78 kediaman dan 10 rumah kedai yang sedang dalam pembinaan.

Menurut beliau, dua lokasi yang terkesan teruk akibat kebakaran itu adalah Taman Harmoni di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru membabitkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu DUN Serdang dan DUN Kota Kemuning.

“Daripada makluman rasmi setakat ini, kita dapati seramai 145 orang cedera dalam insiden ini, yang mana 65 sedang menjalani rawatan manakala 60 lagi sudah dibenarkan pulang.

Secara keseluruhan, rumah yang terkesan adalah lebih kurang 300 rumah, dengan 78 rumah boleh dikatakan ‘total loss’ selain 10 unit rumah kedai yang sedang dibina,” katanya pasa sidang media selepas meninjau lokasi kejadian bersama Perdana Menteri, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pemilik rumah yang terjejas akan diberikan bantuan ihsan antara RM2,500 hingga RM5,000 untuk meringankan beban mereka, selain akan diberikan penempatan sementara.

“Saya juga berterima kasih kerana Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa kita akan berbincang dengan pihak Petronas untuk mencari tapak rumah baharu ataupun kediaman yang boleh diberikan kepada pemilik rumah yang terkesan kerana proses baik pulih dijangka mengambil masa setahun.

“Jadi, kita perlukan sedikit masa untuk menyelesaikan ataupun menangani perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kebakaran akhirnya dapat dikawal selepas tujuh jam insiden berlaku dan penduduk belum dibenarkan balik rumah

“Isu pertama yang perlu kita tangani adalah isu keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Justeru, dalam masa terdekat ini, kita belum boleh membenarkan penduduk masuk ke rumah kerana bimbang mungkin berlaku kesan sampingan akibat kebakaran,” katanya.

Tambahnya, pihak berkuasa memerlukan masa antara 24 hingga 48 jam untuk memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum membenarkan penghuni pulang ke kediaman masing-masing, termasuk untuk mengambil barangan.

Katanya, tindakan seterusnya adalah membolehkan pihak polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran, dan perkara itu dijangka akan mengambil sedikit masa.

“Kita maklum bahawa terdapat pelbagai teori dan spekulasi berhubung punca kebakaran. Sewajarnya beri masa kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan siapakah pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Related posts

Leave a Comment