Mayat 15 petugas bulan sabit maut

GAZA – Mayat 15 petugas kecemasan dan bantuan Bulan Sabit Merah Palestin, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditemukan dalam satu kubur cetek pasir di selatan Semenanjung Gaza, semalam.

Menurut Ketua bantuan PBB, Tom Fletcher dalam satu hantaran di platform X, mayat-mayat itu dikebumikan berdekatan ‘kenderaan yang rosak tetapi mempunyai tanda yang jelas’ ia milik agensi bantuan.

“Mereka dibunuh oleh tentera Israel ketika cuba menyelamatkan nyawa. Kami menuntut jawapan dan keadilan,” katanya.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi komen secara langsung mengenai kematian itu tetapi mendakwa pihaknya sudah memudahkan pemindahan mayat-mayat dari kawasan itu, yang digambarkan sebagai ‘zon pertempuran aktif’.

Namun, mereka tidak menjawab secara khusus mengapa mayat-mayat itu ditemui tertimbus dalam pasir atau kenapa kenderaan yang digunakan petugas bantuan hancur terkena serangan.

Ketua Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, dalam satu kenyataan di X pula mendakwa, mayat-mayat itu ‘dibuang dalam kubur cetek – satu penghinaan besar terhadap maruah manusia’.

Katanya, jumlah petugas bantuan yang maut sejak perang Israel-Hamas di Gaza kini meningkat kepada 408 orang.

Dalam satu kenyataan lewat kelmarin, Jawatan Kuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata pihaknya terkejut dengan berita itu.

“Mayat mereka sudah dikenal pasti hari ini dan dipindahkan untuk pengebumian yang sewajarnya. Kakitangan dan sukarelawan ini mempertaruhkan nyawa mereka sendiri untuk membantu orang lain,” kata pertubuhan itu.

Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pula berkata, seorang daripada sembilan anggota Bulan Sabit Merah masih belum ditemui, tanpa mengulas mengenai butiran lokasi penemuan mayat-mayat itu.

Kumpulan petugas itu dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu ketika dalam perjalanan ke Rafah untuk membantu mangsa cedera selepas Israel meneruskan serangan besar-besaran terhadap Hamas.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment