KUALA LUMPUR 29 Mac – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Tun Ismail Aziz kerana menuduh pihaknya bermain wayang dalam usaha membantu penjaja belon dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Menurutnya, isu yang melibatkan agama dan bangsa sepatutnya mengetepikan warna parti politik, bukannya dijadikan medan untuk tuduh-menuduh serta bermain sandiwara.
“Inilah contoh kenapa Melayu berpecah-belah. Bila ada pihak yang menunggang demi kepentingan politik.
“Yang menunggang dan main wayang adalah orang seperti Tun Faisal, pemuda tidak bersuara ditanya mana suara Pemuda UMNO. Apabila kita bersuara dan hendak membantu dikatanya pula bermain wayang,” tulisnya di Facebook.
Dr Muhamad Akmal sebelum itu menyatakan kesediaan Pemuda UMNO menuntut keadilan terhadap ‘abang jual belon’ yang didakwa diperlakukan secara kasar oleh sekumpulan anggota penguat kuasa DBK dalam satu insiden di Jalan Abdul Rahman.
Kenyataan itu mendapat perhatian Tun Faisal yang turut memuatkan komen mengatakan, tindakan Ketua Pemuda UMNO tersebut adalah wayang.
Masalahnya dalam isu peniaga kecil Melayu dan tanah Kampung Baru, jelasnya Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Ahli Parlimen UMNO Titiwangsa, Ketua Bahagian UMNO dalam Lembaga Penasihat DBKL tidak boleh diharap. Langsung tidak nampak apa peranan mereka dalam hal ini.
“Jadi tidak payah wayang sangatlah Ketua Pemuda UMNO,” tulis Tun Faisal.
Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan, perjuangan dibawanya berbeza dengan individu yang menunggang isu demi agenda politik peribadi.
Beliau turut membandingkan kesepaduan kaum lain yang tidak berpolitik dalam isu membabitkan kepentingan bangsa mereka.
“Jika kaum lain, apabila ada isu yang melibatkan mereka, tak kira dari parti mana pun, mereka akan bersama dan ketepikan perbezaan politik.
“Kita pula, tak habis-habis main politik murahan begini. Sampai bila Melayu nak bersatu padu? Nak samakan diri kamu dengan kami? Maaf, jauh sekali kami nak disamakan dengan penunggang seperti kamu,” katanya.
Nnnn