KUALA LUMPUR 29 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan tindakan diambil terhadap seorang penjual belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) semalam adalah selepas dua kali teguran tidak dihiraukan.
Bagaimanapun, dalam kenyataannya, DBKL akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa terlibat.
Menurut DBKL, ketika melakukan rondaan berkala di situ, anggota penguat kuasanya mendapati beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki, menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan.
Anggota penguat kuasa kemudian menegur penjaja-penjaja ini dan mereka memberikan kerjasama dengan beredar, kecuali seorang penjaja belon yang enggan mematuhi arahan dan bertindak agresif.
“Seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali.
“Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.
“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden yang lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa,” kata kenyataan itu.
Situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal tanpa mana-mana pihak tercedera.
Menurut DBKL, satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian ini dan DBKL akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa terlibat.
Sekiranya perlu, katanya, pihaknya juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan.
DBKL juga menjelaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam, tanpa mengambil kira latar belakang kaum.
Terdahulu, tular di media sosial klip video menunjukkan anggota penguat kuasa DBKL didakwa mengasari seorang penjaja belon dipercayai tanpa lesen di kawasan itu, mengundang kecaman warganet.
DBKL menyeru agar semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan dan juga memohon kerjasama semua pihak agar menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan.
Nnn