Lupa pasport, pesawat berpatah balik

LOS ANGELES – Gara-gara juruterbangnya terlupa membawa pasport, pesawat penerbangan United Airlines ke China terpaksa berpatah balik ke Amerika Syarikat (AS).

Menurut data penjejakan penerbangan, penerbangan UA198 dari Los Angeles ke Shanghai berada di atas Lautan Pasifik pada petang Sabtu apabila ia membuat pusingan U dan menuju semula ke San Francisco.

United Airlines mengesahkan melalui e-mel bahawa pesawat Boeing 787 yang membawa 270 penumpang itu terpaksa singgah di San Francisco kerana juruterbangnya tidak membawa pasport.

“Kami mengatur kru baharu untuk menerbangkan pelanggan ke destinasi mereka pada malam itu,” kata syarikat penerbangan itu.

Syarikat penerbangan itu juga memberi baucar makanan dan pampasan kepada penumpang yang terlibat.

Data penjejakan penerbangan menunjukkan bahawa pesawat itu akhirnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai, selepas tengah malam, lewat enam jam daripada waktu ketibaan asal.

Nnn

Related posts

Leave a Comment