DAMSYIK – Kementerian Luar Syria mengutuk “pencerobohan berterusan Israel di wilayah Syria”, dengan menekankan pergolakan berbahaya” di kampung Kuwayya, wilayah Daraa selatan.
Menurut Kementerian itu, “serangan udara dan artileri berat menyasarkan kawasan kediaman serta pertanian, mengakibatkan enam orang awam terbunuh”, menambah angka korban yang sebelum ini dilaporkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Pelanggaran ini bermula dengan pencerobohan tentera Israel ke wilayah Quneitra dan Daraa, dalam satu siri serangan berterusan ke atas wilayah Syria yang secara terang-terangan melanggar kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa.
Serangan itu juga dilihat sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Syria.
Tentera Israel bagaimanapun mendakwa mereka hanya bertindak balas terhadap tembakan dari Syria.
Ini adalah serangan terbaru dalam siri serangan ke agas tapak ketenteraan sejak pasukan yang diketuai kumpulan Islamis menggulingkan bekas Presiden Bashar al-Assad.
Semalam, tentera Israel mendakwa askarnya “mengesan beberapa pengganas yang melepaskan tembakan ke arah mereka di selatan Syria”, tanpa menyatakan lokasi tertentu.
“Tentera kami membalas tembakan dan pasukan udara Israel (IAF) menyerang kumpulan pengganas itu,” kata kenyataan tentera Israel.
Gabenor Daraa, Anwar al-Zoabi, dalam satu kenyataan berkata bahawa “pencerobohan dan serangan berulang Israel mendorong penduduk untuk bertempur dengan pasukan tentera yang cuba memasuki Kuwayya”, yang terletak di barat laut bandar Daraa.
Pihak berkuasa wilayah melaporkan bahawa sekitar 350 keluarga melarikan diri ke tempat perlindungan di sebuah kampung berdekatan.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, sebuah badan pemantau yang berpangkalan di Britain, melaporkan bahawa tentera Israel melakukan pencerobohan hampir setiap hari di selatan Syria dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Kementerian Luar Jordan mengutuk serangan itu sebagai “pergolakan berbahaya” yang boleh mencetuskan “konflik dan ketegangan yang lebih besar di rantau ini”.
Qatar dalam satu kenyataan turut mengecam serangan tersebut sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa”.
Nnn