Mark Carney PM Kanada ke-24

HAMILTON – Mark Carney mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kanada ke-24 semalam, Jumaat dalam satu upacara rasmi di Rideau Hall, Ottawa, selepas Justin Trudeau, secara rasmi meletak jawatan dan membubarkan Kabinetnya.

Ketua Parti Liberal yang baharu dipilih itu adalah bekas Gabenor Bank of Canada dan Bank of England serta juga pernah bekerja di Goldman Sachs dan memainkan peranan penting dalam mengemudi Kanada melalui krisis kewangan 2008.

“Kami adalah kerajaan yang sangat fokus, berorientasikan tindakan,” kata Carney kepada pemberita di luar Rideau Hall sebelum upacara angkat sumpah.

Beliau juga berkongsi di platform X: “Hari ini, kami membentuk kerajaan yang sesuai dengan keadaan semasa. Rakyat Kanada mengharapkan tindakan – dan itulah yang akan pasukan ini sampaikan.”

“Kabinet yang lebih kecil dan berpengalaman untuk bergerak lebih pantas, menjamin ekonomi kita, dan melindungi masa depan Kanada,” katanya.

Salah satu isu paling mendesak yang perlu ditangani Carney ialah hubungan Kanada-Amerika Syarikat (AS) yang semakin tegang.

Presiden AS, Donald Trump, berulang kali menyalahkan Kanada berhubung isu pendatang haram ke AS, mengancam untuk menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51, serta mengenakan tarif tinggi ke atas import

Carney kini akan berdepan dengan ketua Parti Konservatif, Pierre Poilievre, yang sebelum ini dibandingkan dengan Trump tetapi kini cuba menjauhkan diri daripada pemimpin AS itu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kelebihan Parti Konservatif dalam tinjauan pendapat semakin mengecil apabila Trudeau, Carney, dan pemimpin Parti Liberal lain mengambil pendirian tegas dalam pertikaian perdagangan dengan AS.

Pengunduran Trudeau berlaku selepas beberapa krisis politik, ketidakpuasan ekonomi yang semakin meningkat dan peletakan jawatan mengejut Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan, Chrystia Freeland, yang turut bersaing untuk menggantikannya.

Related posts

Leave a Comment