KOTA KINABALU 13 Mac – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mempertahankan semua kerusi yang disandangnya ketika ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), kata Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Hajiji Noor.
Beliau berkata perbincangan akan dilakukan dengan parti komponen GRS terlebih dahulu sebelum diteruskan dengan parti gabungan dalam kerajaan sekarang iaitu Pakatan Harapan (PH) Plus.
Hajiji berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan proses agihan kerusi di antara Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinannya dengan tujuh lagi parti komponen GRS.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, hari ini.
Mengenai hasrat PH untuk bertanding di kerusi yang disandang parti komponen GRS, khususnya Gagasan Rakyat, beliau sifatkan ia sebagai pandangan pemimpin mereka.
“Saya dengar juga itu, tapi kadang-kadang beginilah orang politik. Dia tidak tahu itu kerusi orang lain. Salahkah bagi saya kalau cakap, kita pertahankan kerusi yang kita sandang. Jadi fikir-fikirkanlah.
“Jangan kerusi orang lain pun kita ambil, macam mana kita kerjasama, bukankah? Saya bukan kacau orang lain, saya atur saya punya parti sendiri. Saya tidak mahu cakap panjang.
“Tapi, sebagai pemimpin kita kena mempunyai kebijaksanaan dan kematangan, terutama sekali dalam urusan yang kita berbincang bersama-sama untuk kebaikan negeri,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud menyatakan kemungkinan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk yang disandang pemimpin Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Nama Arsad juga adalah antara yang disebut bakal dicalonkan semula oleh Gagasan Rakyat bagi mempertahankan kerusi itu atas tiket GRS pada PRN17 nanti.