KUALA LUMPUR 13 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menerima nasihat Presiden parti, Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan hati terbuka berhubung kedudukannya dalam parti.
Ahmad Zahid sebelum ini menasihati Tengku Zafrul supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam parti.
Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, pertemuan bersama Ahmad Zahid baru-baru ini membincangkan kedudukannya dalam UMNO, selain mendengar pandangan serta nasihat berkaitan.
“Saya sudah berjumpa dengan Presiden UMNO dan kami berbincang mengenai kedudukan saya dalam parti. Beliau menasihatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan dan saya bersetuju.
Saya juga tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan,” katanya selepas majlis pelancaran platform Madani Digital Trade di sini hari ini.
Ahmad Zahid sebelum ini menasihati Tengku Zafrul supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam parti.
Ditanya apakah keputusannya ketika ini, Tengku Zafrul berkata, segala pertimbangan politik akan difikirkan dengan lebih mendalam dan buat masa ini ingin memberi fokus kepada kerja sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Pada 9 Februari lalu, Tengku Zafrul dilaporkan akan mengumumkan keputusan ura-ura beliau akan meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR dalam tempoh terdekat selepas berjumpa Ahmad Zahid.