KUALA LUMPUR 29 Okt. – MCA memperoleh tambahan satu kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka apabila diberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, kawasan majoriti pengundi Cina.
Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas rundingan antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) berhubung pembahagian kerusi bagi pilihan raya berkenaan.
Bercakap pada sidang media di bangunan Parlimen petang ini, beliau berkata, Pengerusi BN, Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan secara rasmi kepada MCA mengenai persetujuan memberikan kerusi tambahan itu selepas rundingan pembahagian kerusi dimuktamadkan pukul 4 petang tadi.
Susulan itu, MCA memilih Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jasmine Lok, 38, yang mempunyai latar belakang dalam bidang perhubungan awam dan sudah berkhidmat di kawasan itu sebagai calon di kerusi berkenaan.
Sebelum ini, MCA menzahirkan rasa tidak puas hati dengan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu untuk PRN Melaka.
Isu berkenaan mencetuskan ketidaktentuan mengenai penyertaan MCA dalam pilihan raya negeri itu sebelum rundingan antara Ka Siong dengan Zahid mencapai persetujuan.
Semalam, MCA akur untuk bertanding di dua kerusi, iaitu DUN Machap Jaya dan Klebang, sekali gus meredakan kemelut berhubung agihan kerusi dalam BN.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu hari ini menyaksikan MCA memperoleh tambahan satu lagi kerusi, iaitu Banda Hilir, yang didominasi pengundi Cina.
Nnnn
