MELAKA 29 Okt. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menggunakan logo rasmi parti itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka 14 November ini, kata Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali.
Pengarah Pilihan Raya Bersatu itu berkata beliau sudah menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada minggu lalu berkaitan pengesahan penggunaan logo parti berkenaan pada PRU DN Melaka ke-16.
Katanya, penggunaan logo Bersatu telah dibenarkan oleh Presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman Calon Bersatu bagi PRU DN Melaka di bilik gerakan utama parti itu di Baitul Tariq, Klebang di sini malam ini.
Mengenai lapan kerusi ditandingi, Mohamed Azmin berkata semua kerusi berkenaan dilihat berpotensi dimenangi oleh parti itu.
Katanya, walaupun dijangka bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH) di empat kerusi ditandingi iaitu di Kelebang (PKR) serta Gadek, Ayer Keroh dan Pangkalan Batu (DAP), Bersatu menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat Melaka untuk membuat pemilihan.
“Dalam konteks pilihan raya, pertindihan atau pertembungan bermakna parti terlibat akan bersaing, tetapi kita mengambil pendirian persaingan itu adalah persaingan yang sihat dalam sebuah sistem demokrasi.
“Kita tidak akan mengamalkan gutter politic ataupun fitnah, kita akan menawarkan dasar-dasar parti..kita parti yang prihatin rakyat, kita bawa isu ekonomi, isu pertumbuhan dan penjanaan pekerjaan,” katanya.
Nnnn
