ALOR SETAR 29 Okt . – “Belum ada ‘orang putih’ komen English saya, yang komen semua Melayu,” demikian reaksi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor terhadap kritikan pengguna media sosial berhubung ucapannya dalam bahasa Inggeris.
Katanya, beliau belum menerima sebarang teguran daripada penutur asal bahasa Inggeris berhubung ucapannya dengan kritikan hanya disuarakan pengguna media sosial tempatan.
Justeru, beliau mempertahankan kemampuannya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ketika berucap di Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Katanya, keupayaan berkomunikasi tidak seharusnya dinilai berdasarkan ketepatan tatabahasa semata-mata, sebaliknya keberkesanan penyampaian mesej kepada pendengar.
“Duta Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan India, saya bercakap dengan mereka, mereka faham, mereka hargai saya… itu adalah seni dalam komunikasi,” katanya ketika ditemui selepas Program Siri Syarahan ‘The Greater Kedah’ di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kritikan pengguna media sosial terhadap penyampaiannya dalam bahasa Inggeris ketika membangkitkan isu unsur nadir bumi (REE) pada forum berkenaan.
Muhammad Sanusi berkata, beliau sudah pergi ke 38 negara dan menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dalam pelbagai misi.
Katanya, beliau tidak menganggap ketepatan tatabahasa sebagai ukuran mutlak dalam komunikasi selagi mesej yang disampaikan dapat difahami penerima.
“Bahasa apa pun penting tetapi lebih penting lagi prestasi dan cara penyampaian. Selagi orang faham dan boleh terima, Alhamdulillah. Komunikasi ini bukanlah pembaris. Janganlah betul sangat. Selagi orang faham, okaylah, saya orang Sik, jadi ada dialek Sik jadi Siklish, Singapura ada Singlish,” katanya.
Mengulas isu REE pula, beliau berkata Kerajaan Persekutuan diharap dapat mempercepatkan penggubalan dasar berkaitan perlombongan mineral berkenaan bagi membolehkan negeri yang mempunyai sumber itu menjana hasil baharu.
Katanya, pelabur sudah menunjukkan minat untuk melabur dalam aktiviti penerokaan dan pemprosesan REE, namun proses mendapatkan lesen perlombongan masih berdepan kekangan dasar serta kelulusan teknikal.
“Buat polisi (dasar) cepatlah. Kami nak ekstrak REE. Pelabur sudah masuk buat eksplorasi dan selesai proses penerokaan, kita nak beri lesen perlombongan, tetapi mereka nak buat pelan perlombongan, penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan pelbagai perkara lain yang memerlukan dasar serta kelulusan.
“Apabila proses teknikal lambat, maka lambat lagi nak ekstrak dan hasil baharu negeri pun tertangguh,” katanya.
Beliau berkata, kelewatan itu menyebabkan negeri berisiko terlepas peluang memanfaatkan permintaan tinggi terhadap REE ketika ini sedangkan mineral berkenaan berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu.
Muhammad Sanusi berkata, Kedah turut berhasrat membangunkan industri hiliran REE bagi memastikan sumber mineral itu tidak hanya dijual dalam bentuk mentah sebaliknya diproses untuk menghasilkan nilai tambah kepada ekonomi negeri.
Katanya, kewujudan kemudahan pemprosesan serta minat pelabur untuk menguraikan 17 elemen REE membuka peluang kepada Kedah membangunkan industri berkaitan jika kelulusan diberikan.
“Kita ada kilang Lynas dan akan ada pelabur yang bersedia pada bila-bila masa sekiranya mendapat kelulusan untuk menjalankan proses penguraian 17 elemen itu di sini.
“Kita mahu elemen itu diuraikan di sini supaya ada projek hiliran daripada REE. Kita tidak mahu menjual bahan mentah sahaja,” katanya.
(Foto urus setia penerangan darul aman)
Nnn
