Berhenti jadi ‘badut’ polemikkan isu 3R

JERANTUT 11 Mac – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan pemimpin supaya berhenti menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R) sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam masyarakat.

Baginda bertitah, semua kepemimpinan khususnya politik harus menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukan pencetus api yang membakar hubungan harmoni sudah lama terbina.

“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang tanpa drama menyakitkan dan ‘berdialoglah’ menggunakan akal serta hati, bukan ‘bermonolog’ menggunakan nista dan benci.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua rakyat, baik Muslim mahupun bukan Muslim, bahawa keharmonian yang kita kecapi ini adalah hasil sikap saling menghormati serta toleransi,” titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Durian Hijau, di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan memasyhurkan Masjid Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdulrahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau.

Baginda turut mengingatkan supaya jangan cepat melatah dan membuat spekulasi, hormat-menghormati satu sama lain, serta menjaga sensitiviti antara agama dan kepercayaan.

“Sesungguhnya, dalam mendukung kemuliaan agama yang suci, kita bertanggungjawab memastikan setiap jiwa yang bernaung di bumi bertuah ini mendapat hak yang sewajarnya agar tanah ini terus subur dengan kemakmuran serta bernafas dalam ketenangan.

Jangan sesekali kita membiarkan kejahilan dan keangkuhan merosakkan apa yang telah kita bina bersama,” titah baginda.

Baginda juga berpesan bahawa berdirinya sebuah masjid bukan sekadar binaan untuk bermegah, tetapi adalah lambang ketakwaan, persaudaraan serta kecintaan umat Islam kepada Allah SWT dan Rasul.

“Masjid inilah tempat di mana hati-hati yang beriman berkumpul, bersujud dan bermunajat untuk mencari rahmat serta hidayah-Nya.

“Selain itu, menyingkap jejak Abdulrahman Ibn Auf menyuburkan budaya memberi, menghulur tangan kepada yang memerlukan dan menjadikan kemewahan sebagai penyuluh jalan kebajikan, bukan sekadar membina harta tetapi membina ummah,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment