Dua kematian, 110 kes baharu Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 24 Ogos – Brunei Darussalam hari ini merekodkan dua kematian baharu berkaitan jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia setakat ini lima orang.

Ini juga kematian pertama selepas lebih setahun Brunei Darussalam tidak merekodkan sebarang kes tempatan.

Menteri Kesihatan Dr. Mohamad Isham Jaafar berkata, kematian pertama melibatkan seorang wanita tempatan berusia 85 tahun yang dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan pada 14 Ogos lalu.

Kematian kedua,  seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun yang juga dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan pada 22 Ogos. Kedua-duanya mengalami masalah jangkitan paru-paru selepas dijangkiti Covid-19.

Bercakap pada sidang media situasi semasa Covid-19, Dr Mohamad Isham juga memaklumkan mengenai, 110 kes jangkitan baharu termasuk tiga kes import yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,983 kes.

Pada masa yang sama, dua kluster baharu dikesan – Kluster 1957 yang merekodkan 10 kes dan Kluster 1640 dengan enam kes menjadikan 40 kluster aktif setakat ini.

Kluster aktif juga merekodkan 53 kes tambahan menjadikan jumlah keseluruhan kes berkaitan kluster aktif meningkat kepada 1,198.

Mengenai kes import pula,  dua kes melibatkan ketibaan dari Kuala Lumpur pada 11 Ogos dan satu kes yang tiba dari Manila juga pada 11 Ogos.

Di samping itu sebanyak 46 kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan.

Pada masa yang sama 32 pesakit dilaporkan sembuh hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih 468 orang.

Ini bermakna 1,508 adalah kes aktif di mana empat dalam keadaan kritikal, tiga orang  daripadanya memerlukan bantuan pernafasan dan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart / lung machine (ECMO).

Sebanyak 27 lagi kes dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment