PUTRAJAYA 7 Mac – Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Parlimen Tapah ditetapkan pada 26 April ini manakala penamaan calon akan berlangsung pada 12 April.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun berkata, pengundian awal pula pada 22 April dengan tempoh berkempen 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 25 April ini.
Katanya, berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 22 Februari lalu, seramai 31,897 layak mengundi terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan layak mengundi pada PRK itu.
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Beliau juga memberitahu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Menurut Ramlan, pelaksanaan PRK DUN N48 Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
Seramai 601 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala 19 pusat mengundi biasa mengandungi 63 saluran dan dua pusat mengundi awal bakal digunakan.
“Bagi maksud PRK ini, Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi yang digunakan adalah di Dewan Merdeka Tapah, Perak,” katanya.
SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses PRK itu.
“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon bertanding,” katanya.
Pada PRK ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya.
Katanya, mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan undi rasmi.
Ini adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap; PRK DUN Neggiri dan DUN Mahkota, Johor.
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Nnn
