WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengingatkan bahawa beliau tidak akan ‘bersabar’ lagi dengan pendirian Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang menegaskan mahu menamatkan perang dengan Russia secepat mungkin.
Trump menyifatkan kenyataan Zelensky mengenai perjanjian menamatkan perang sebagai mustahil dicapai dalam masa terdekat dan menyifatkannya sebagai ‘kenyataan paling buruk yang boleh dikeluarkan olehnya’.
“AS tidak akan bertolak ansur dengan perkara ini,” kata Trump di media sosial selepas Zelensky menuduh Russia menceroboh Ukraine pada 2014 dan memperluaskan konflik secara besar-besaran pada 2022 kerana tidak serius dalam usaha damai.
Zelensky menegaskan bahawa jaminan keselamatan yang kukuh adalah satu-satunya cara untuk menamatkan konflik itu.
Bagaimanapun, serangan Trump terhadap Zelensky menggugat sokongan AS terhadap Ukraine serta sekutunya secara meluas, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan Washington mengubah pendiriannya terhadap Russia.
Trump meningkatkan lagi ancamannya dalam satu acara di Rumah Putih semalam, dengan memberi bayangan bahawa Zelensky ‘tidak akan bertahan lama’ tanpa perjanjian gencatan senjata dengan Moscow.
Beliau turut menegaskan bahawa Zelensky seharusnya lebih menghargai bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar yang disalurkan Washington kepada Kyiv dalam usaha menentang Russia.
Bagaimanapun, Trump berharap perjanjian yang gagal minggu lalu akibat pertelagahan mereka mungkin dapat dihidupkan semula, selain meredakan ramalan bahawa beliau akan menghentikan bantuan ketenteraan.
“Mungkin ada pihak yang tidak mahu mencapai perjanjian dan jika seseorang itu enggan berunding, saya rasa dia tidak akan bertahan lama,” kata Trump.
Nnn