KANGAR 2 Mac – Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata kehadiran ramai jemaah ke masjid pada awal bulan puasa ini seharusnya dilihat sebagai tanda mereka yang memuliakan Ramadan.
Justeru, masyarakat jangan sama sekali memandang sinis dalam jiwa, atau perkataan apabila melihat ramai umat Islam hadir ke masjid pada awal Ramadan.
“Jangan sama sekali kita kata “itu semangat masa awal sahaja” atau “Ramadan baru nak nampak muka di masjid”, katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, kemeriahan masjid pada awal Ramadan adalah petanda umat ini mengagungkan syiar Allah kerana al-Quran sendiri menyatakan itu tanda jantung hati yang bertakwa.
“Bayangkan jika umat kita ini tidak mempedulikan kehadiran Ramadan di masjid dan masjid pula tetap seperti biasa dengan jemaah sedia ada maka sudah pasti itu satu kebiadapan terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Itu bagaikan segala tawaran dan kemuliaan yang dijanjikan tiada erti dan tidak menarik untuk disambut.
Namun, apabila masyarakat kita berpusu-pusu ke masjid pada awal Ramadan, tanda hormat dan iman mereka terhadap janji Allah dan RasulNya,” katanya.
Hari ini umat Islam di seluruh Malaysia mula menjalani ibadah puasa Ramadan bagi tahun ini dan malam tadi bermulanya solat sunat Tarawih di masjid dan surau seluruh negara.
Mohd Asri menegaskan, kelemahan sebahagian kita adalah untuk terus istiqamah sepanjang Ramadan dan itu adalah kecacatan yang berlaku selepas itu tetapi bukan pada sambutan awal yang meriah ini.
“Apa yang menjadi tanggungjawab dakwah kita adalah sama-sama mengajak diri kita dan umat beristiqamah sepanjang Ramadan,” katanya.
(Foto hiasan fb Masjid Wilayah KL)
Nnn
