KUALA LUMPUR 2 Mac – Wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa disita manakala 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta, dirampas susulan siasatan berkaitan kes rasuah serta pengubahan wang haram didakwa berkait Perdana Menteri ke-9.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan, hari ini memberitahu wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam mata wang Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.
Ia adalah hasil pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai ‘safehouse’, berikutan penahanan empat individu pada minggu lalu.
Katanya, siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke-9.
“Siasatan ini dijalankan bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.
Sebelum ini, dua individu bergelar Datuk adalah antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri, yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan lanjut berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran beliau.
Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas, turut ditahan oleh agensi antirasuah berkenaan.
Difahamkan Ahli Parlimen Bera itu memberi keterangan selama lima jam selepas SPRM memperoleh maklumat baharu hasil risikan yang dilakukan.
Keterangan Ismail Sabri membawa kepada penahanan empat bekas pegawai kanan beliau, tiga hari selepas itu.
Bekas pegawai kanan itu direman SPRM selama beberapa hari, dengan serbuan dan rampasan wang tunai lebih RM100 juta dilakukan di sebuah kediaman.
SPRM berkata, bekas Perdana Menteri itu diarahkan membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024.
Pengisytiharan harta itu telah dibuat secara rasmi pada 10 Februari lalu.
“Untuk makluman, Ismail Sabri sudah hadir ke pejabat SPRM bagi memberikan keterangan pada 19 Februari lalu. Namun, SPRM tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan lanjut,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, SPRM juga sudah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Suruhanjaya ini ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
“SPRM komited memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram, ditangani dengan tegas demi kepentingan negara,” kata kenyataan itu.