ALOR GAJAH 10 Nov. – Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menghormati pendirian Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang meletak jawatan Menteri Pengangkutan berkuatkuasa serta merta hari ini.
Beliau yang sudah membaca kenyataan Ahli Parlimen Seremban itu menyifatkan Loke seorang pemimpin berprinsip yang tetap berpegang kepada pendiriannya susulan pengumuman peletakan jawatan.
“Beliau seorang yang berprinsip dan berpegang kepada prinsip itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau sepanjang berada sebagai anggota Jemaah Menteri,” katanya selepas merasmikan Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 diUniversiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM) Ayer Pa’abas, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan atas khidmat serta kerjasama yang diberikan sepanjang berada dalam Jemaah Menteri dan sudah pasti, jemaah menteri akan merasa kehilangan Loke selaku seorang anggota Kabinet kanan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Kebetulan beliau duduk di sebelah kanan saya setiap kali mesyuarat Kabinet dan sudah pasti akan terasa kehilangan (pada mesyuarat akan datang). Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau di luar Kabinet,” katanya.
Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta hari ini, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan rumah.
Keputusan itu selaras dengan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat terhadap Najib, walaupun parti berkenaan menghormati kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan.
Loke sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu, namun diminta meneruskan tugas sementara menunggu penyelesaian urusan berkaitan tahanan rumah Najib.
Nnnnn
