KUCHING 28 Feb. – Akhbar harian berbahasa Melayu negeri ini, Utusan Sarawak dan Mingguan Sarawak akan menamatkan penerbitan edisi cetak mulai esok, Sabtu dan akan beralih ke platform dalam talian sepenuhnya.
Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh berkata penamatan edisi cetak akhbar yang wujud sejak tiga dekad lalu selaras perkembangan dunia hari ini yang dikuasai oleh paparan digital dan penggunaan platform dalam talian.
“Mulai Sabtu, 1 Mac 2025, Utusan Sarawak akan beroperasi sepenuhnya dalam talian melalui versi web, aplikasi Utusan Sarawak serta laman Facebook Utusan Sarawak.
Kira-kira 20 tahun lalu, orang ramai bersarapan di kedai kopi sambil membaca akhbar cetak, tetapi hari ini, pemandangan itu hampir tiada lagi.
“Sebaliknya, kebanyakan orang kini lebih tertumpu kepada skrin telefon bimbit untuk mendapatkan berita,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kadir berkata Utusan Sarawak akan terus mengikuti trend semasa dengan memperkukuh liputan berita melalui platform digital.
“Sejajar dengan perkembangan teknologi, Utusan Sarawak menjadi akhbar pertama di Malaysia yang memperkenalkan pembaca berita buletin malam menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Facebook rasmi kami.
“Selamat tinggal versi cetakan Utusan Sarawak dan Mingguan Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, Utusan Sarawak mula diterbitkan pada 16 Januari 1949 sehingga 1971 dan dihidupkan semula pada 1990-an.
Nnn