TANGGA BATU 10 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembubaran Parlimen bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat dilihat lebih sesuai berbanding rombakan Kabinet.
Katanya, pembentukan Kabinet baharu sebaik-baiknya dilakukan selepas rakyat diberikan peluang untuk menentukan mandat menerusi pilihan raya.
“Saya tidak nampak adanya keperluan sekarang ini untuk mengadakan rombakan Kabinet, walaupun ada seorang yang mungkin komited untuk meletakkan jawatan ketika sampainya Datuk Seri Najib ke rumah beliau bagi menjalani baki hukuman.
Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan, kita berikan mandat semula kepada rakyat, dan kita bentuklah Kabinet baharu selepas itu,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Anggota Kemas Negeri Melaka di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Abdul Kahar Abdullah; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Rais Yasin; serta Ketua Pengarah Kemas, Mohd Hanafiah Man.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata masih terlalu awal untuk mempertimbangkan sebarang rombakan Kabinet susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang akan berakhir pada 11 Disember ini.
“Terlalu awal,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Amir Hamzah dilantik sebagai Senator pada 12 Disember 2023 dan pada masa sama diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan II.
Hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, meletak jawatan berkuat kuasa serta merta selepas Najib ‘dibebaskan’ dari penjara Kajang untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Nnnnn
