KUALA LUMPUR 28 Feb. – Umat Islam di Indonesia akan mula berpuasa esok, manakala Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand dan Kemboja akan mula berpuasa pada Ahad, 2 Mac.
Di Malaysia, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa itu menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Beliau berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan sudah diperkenankan untuk melihat anak bulan Ramadan pada petang hari ini di 29 lokasi di seluruh negara.
Lokasi terbabit termasuk di Pontian Kecil, Johor, dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Seterusnya, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
Sementara itu, Menteri Agama Indonesia Nasaruddin Umar mengumumkan tarikh 1 Ramadan 1446 Hijrah adalah bersamaan Sabtu, 1 Mac 2025.
Pengumuman itu dibuat setelah selesainya persidangan Isbat (persidangan penentuan tarikh Ramadan) pada Jumaat malam, yang melibatkan pegawai kementerian, Majlis Ulama Indonesia, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, serta wakil dari kedutaan besar di Indonesia.
Turut hadir Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Mohd Shamsuri Ghazali.
Indonesia adalah negara dengan majoriti Muslim terbesar di dunia, dengan 87 peratus daripada 282 juta penduduk di republik ini beragama Islam.
Di Singapura, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata mengikut kiraan hisab, bulan berada pada kedudukan jarak lengkung 5.1 darjah dan ketinggian 4.3 darjah ketika matahari terbenam pada petang Jumaat, sekali gus gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura).
“Oleh itu, anak bulan Ramadan tidak dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan esok adalah hari penggenap bulan Syaaban sebanyak 30 hari.
“Sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan pada tahun ini jatuh pada lusa, Ahad bersamaan 2 Mac 2025,” katanya dalam klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom mengumumkan umat Islam di negara itu akan mula berpuasa pada Ahad selepas tiada anak bulan Ramadan kelihatan semasa proses pencerapan di beberapa lokasi di wilayah selatan, selepas matahari terbenam pada Jumaat.
Arun membuat pengumuman tersebut di Pusat Pentadbiran Hal Ehwal Islam Kebangsaan Chalermprakiart di wilayah Samut Prakan yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan radio.
Sementara itu, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam Kemboja mengumumkan pada petang Jumaat bahawa umat Islam akan mula berpuasa pada Ahad.
Nnn
